salam

Wednesday, December 16, 2009

Pengorbanan seorang doktor

ASSALAMUALAIKUM buat semua Salam sayang salam ukhuwah...

ana tidak menjangka kalian respon begitu perhatin atas peristiwa kecil yg berlaku pada ana..jazakallaahukh airan khathira...muga Allah lah yg mengurniakan sebaik-baik ganjaran atas niat usaha tindakan kalian buat ana..sekadar hamba NYA..bukan sesiapa..

pesakit ini sudah lama beberapa kali datang mendapat rawatan dari ana, sejarah nya semasa mengandung anak pertama, suaminya meninggal dunia dan diberitahu suaminya HIV POSITIVE, semasa itu pesakit ini statusnya Negative.

kerana beliau janda muda beranak satu, maka beliau berkahwin dengan suami kedua yg bersih berstatus HIV Negative, semasa mengandung anak kedua ini tiba-tiba muncul HIV STATUSNYA POSITIVE. Anak pertama nya juga apabila di test sekarang Positive.

Ini bermakna semasa test yg lepas beliau dlm masa 'window period' sudah dijangkiti namun tidak dapat dikesan oleh screening test.

yang paling menarik berkenaan kes ini, semasa memanggil suami kedua nya utk kaunselling, suaminya seorang lelaki yg serba sederhana dan kelihatan tenang sekali menyatakan;
'saya tidak rasa terkejut, tidak takut, tidak rasa susah hati, tidak salahkan sesiapa, seandainya ditakdirkan saya mati pun kerana jangkitan penyakit ini saya redha kalau begitu ketentuan Nya, bukan kah kita yakini Allah itu Maha Adil, Maha Menyaksikan, Allah tidak akan sekali-kali mengurangi ganjaran yg sebaik-baiknya kpd setiap amalan hamba-hamba NYA, sekurang-kurangnya saya lebih memahami perasaan isteri saya antara orang-orang yg teraniaya, saya insya Allah akan tetap menemaninya serta membantunya tanpa berbelah bagi semampunya'.

jawaban itu membuat diri ini rasa kagum dgn ketenangan, ketabahan seorang lelaki menghadapi mehnah, sesungguhnya Allah telah merezkikan pengganti suaminya dgn seorang lelaki yg lebih baik utk menemaninya melaui detik-detik kehidupan di dunia ini.

selepas itu saya loss contact..sbb di hospital kerajaan pesakit boleh dirawat oleh mana-mana doktor yg bertugas.... sehingga sekitar jam 2.30ptg hari selasa 8 Dec..ana baru keluar dari bilik bedah utama selepas habis buat pembedahan elektif dari pagi hingga sekaranng ..rasa perut berkeroncong teringat nak makan tengahhhari. ..namun .hp terjerit-jerit mohon di jawab,....Dr Mai ini panggilan dari OTM (bilik bedah dlm Kamar Bersalin)..kami perlu bantuan emergency... pesakit berdarah sudah lebih 3000 mls pendarahan tidak dapat dihentikan dengan cara biasa..

emm kalau turutkan hati..ana bleh kata...apasal panggil saya?..panggillah yg oncall ke.. yg incharge kamar bersalin ke.. tak kena mengena gan aku....namun seperti ada satu kuasa utk mengejarkan kaki ini ke arah OTM..ingin membantu..tanpa dibantu pesakit boleh kehilangan darah 500mls seminit...dlm masa beberapa minit jantungnya boleh terhenti...mati. ..di situ...seorang wanita terlantar berlumuran darah..melimpah limpah hinggan ke lantai, darah merah memancut-mancut dari ruang organ peranakan yg tidak mampu mengecut selepas melahirkan.. .

Dr..pesakit ni well known HIV POSITIVE!

tanpa byk soal, scrap up pakai baju bagai nak jadi angkasawan.. .mulakan operasi pembedahan hysterectomy ..membuang rahim dlm suasana seolah-olah bersawah dengan darah, teringat daku yg dulu biasa bersawah padi ..tiba-tiba di gigit ular..aauuu. .tiba tiba jejariku terasa sakit pedih, bukan gigitan ular tapi tercucuk jarum la!...operasi tidak boleh dihentikan ..kehilangan darah sudah mencapai 4500cc..teruskan dengan terfikir-fikir sudah adakah HIV VIRUS menembusi aliran darahku lalu bermaharaja lelakah mereka dalam sistem tubuhku?

Alhamdulillah pesakit dapat diselamatkan. .di bawa ke ICU, ditambah darah, di stabilkan..baru teringat nak buat cam ne dgn diriku ini?..kalau bukan HIV POSITIVE kebiasaannya ana buat tak kisah tercucuk jarum ni ana anggap remeh...namun kali ini tidak..terpaksa ikut prosedur yg ditetapkan mengadu pada pakar Medical Oncall, mereka hantar 2 orang Pegawai utk kaunselling ana, nasihat utk ambil 3 jenis ubat antiHIV pagi petang sampai sebulan..itupun belum tentu 100% dapat hapuskan..

Ya ALLAH aku redha dengan segala ketentuan Mu, namun sengsaranya kesan ubat ini membuat aku mengimbau detik-detik mengambil kemotherapy dulu..rasa loya tali temali, rasa bengang sakit kepala ganti berganti, segala otot, sendi tulang sakit lengok, lemah tak terdaya...maka aku lebih memahami rasa mereka -mereka yg terpaksa menjalani rawatan ini deritanya mereka ..teraniayaa. .kerna hasil dosa-dosa orang lain..

segalanya membuat aku lebih sedar...kebobrokan masyarakat adalah tanggungjawab kita bersama...muga permuafakatan ummah kita pacukan..agar dapat rahmatan lillalamin.. muga.rahmat Allah..melimpahi seluruh alam..aaamin. .

Tuesday, December 8, 2009

PIMPINAN JIM DAN WANITA JIM PUSAT SESI 2009-2011

Kenyataan Media


Pertubuhan Jamaah Islah Malaysia (JIM)

8 Disember 2009

PIMPINAN JIM DAN WANITA JIM PUSAT SESI 2009-2011

Pada 4 hingga 6 Disember 2009, Pertubuhan Jamaah Islah Malaysia (JIM) telah mengadakan Perhimpunan Perwakilan Wanita Nasional (PPWN) ke-16 dan Perhimpunan Perwakilan Nasional (PPN) ke-19 bertempat di Kolej Islam Darul Ridzuan, Kuala Kangsar, Perak.


Dalam Perhimpunan Perwakilan Nasional (PPN) ke-19 pada 5 dan 6 Disember 2009 yang bertemakan Membina Permuafakatan Ummah, Alam Dilimpahi Rahmah, barisan pimpinan baru telah dilantik. Berikut adalah senarai pimpinan baru JIM Pusat untuk sesi 2009-2011:


Presiden : Hj. Zaid Kamaruddin

Timbalan Presiden : Hj. Syed Ibrahim Syed Noh

Naib Presiden : Prof. Dr. Hj. Sahrim Ahmad

Naib Presiden : Prof Madya Dr Harlina Halizah Hj Siraj

Setiausaha Agung : Hj. Nahar Md. Nor

Bendahari : Hj. Tuan Yaacob Tuan Sof

Ketua Wanita : Hjh Che Asmah Ibrahim

Penolong Setiausaha Agung : Hj. Kamarul Zaman Shaharul Anwar



Ahli Jawatankuasa :

1. Hj. Ahmad Jamali Sepihie
2. Hj. Ahmad Raji Yaakub
3. Hj. Muhammad Abdullah @ Nicholas Sylvester Berry
4. Dr Zulfakar Ramlee
5. Hj Mokri Sabran
6. Prof Madya Dr Salwani Mohd Daud
7. Saudara Wan Muhammad Wan Ibrahim.



Perhimpunan Perwakilan Wanita Nasional ke-16 pada 4 Disember 2009 yang bertemakan Memacu Iltizam Mendepani Cabaran Penegakan Syariah juga telah melantik barisan pimpinan baru untuk sesi 2009-2011. Berikut adalah senarai pimpinan baru Wanita JIM Pusat untuk sesi 2009-2011:


Ketua Wanita : Hjh Che Asmah Ibrahim

Timbalan Ketua Wanita : Hjh Roselainy Abdul Rahman

Setiausaha Kehormat : Hjh Anfaal Saari

Bendahari : Hjh Fairuzana Haneem Mohamed Ali



Ahli Jawatankuasa :

1. Hjh Roha Hassan
2. Hjh Faridah Maludin
3. Puan Maryam Aizuddin

Pimpinan JIM Pusat dan Wanita JIM Pusat sesi 2009-2011 berazam untuk meneruskan usaha-usaha pengislahan ke arah pelaksanaan syariah Islam sepenuhnya di negara ini. Kepada Allah kami bertawakkal dan memohon kekuatan.

Friday, December 4, 2009

SEJARAH RINGKAS PENUBUHAN WANITA JIM

Penubuhan WJIM sebagai sayap wanita dalam JIM telah diluluskan semasa Perhimpunan Perwakilan Nasional Khas pada 28 Ogos 1993 di Kuala Berang, Terengganu Darul Iman. Mulai dari tarikh itu, WJIM telah diberikan bidang keterlibatan yang lebih luas dan struktur organisasi yang lebih berotonomi. Penyusunan khusus bagi WJIM ini merupakan satu langkah yang berupaya mengembangkan segala potensi yang ada di kalangan ahli-ahli WJIM.
Visi

Menjadi pemimpin wanita yang fundamental, komtemporari dan profesional berasaskan Islam.
Misi

Wanita JIM mendokong misi JIM Pusat melalui:

* Sistem tarbiah dan pembangunan sumber manusia yang mantap
* Ilmu dan kemahiran yang berpandukan asas yang sahih
* Organisasi yang tersusun.

Objektif

* Menyediakan program pembangunan insan dan latihan kepimpinan kepada wanita
* Mewarwar dan Mengurus Pusat Perlindungan Remaja Puteri, Raudhatus Sakinah
* Memartabatkan sistem pendidikan pra-sekolah berlandaskan Islam dengan menguruskan Rangkaian Tadika Amal (aliran Melayu) , Hidayah dan Husna (aliran Inggeris)
* Menggerakkan Agenda Wanita untuk Perubahan (Women's Agenda for Change)
* Membina jaringan dengan badan-badan wanita Islam dan bukan Islam yang lain

kenyataan akhbar-Isu Kartika

pm dr harlina Di awal bulan mulia Ramadhan dan di ambang sambutan ulangtahun kemerdekaan yang ke-52, Malaysia digemparkan dengan isu pelaksanaan hukuman sebat ke atas seorang ibu berusia 32 tahun, Kartika Sari Dewi Shukarnor yang didapati bersalah oleh Mahkamah Syariah Pahang meminum arak di sebuah hotel di Cherating, Pahang. Pelbagai pihak memberikan maklumbalas yang berbeza, sementara media dalam dan luar negara pula menggembar-gemburkan isu ini hingga ianya menjadi satu polemik yang sensasi. Menurut perkembangan terkini, hukuman tersebut dikatakan akan disemak semula oleh pihak Mahkamah Syariah Pahang, atas desakan dan tekanan yang diterima.

Wanita JIM berpandangan perlunya isu ini dilihat dan dinilai dengan penuh objektif dan rasional, tidak semata-mata penuh emosi dan sensasi. Beberapa persoalan penting yang timbul berikutan polemik ini memerlukan jawapan tepat dan tindakan segera agar isu ini dapat selesai dengan cara terbaik, tanpa menggadaikan kredibiliti dan mengaibkan sesiapapun, khususnya institusi kehakiman syariah yang memayungi kehidupan umat Islam di Malaysia selama ini, juga tidak Kartika Sari Dewi dan keluarganya.

Isu hukuman sebat Kartika menimbulkan banyak persoalan, antaranya :

* Sejauhmanakah sebenarnya tahap kesungguhan dan kesediaan umat Islam di Malaysia , struktur sistem pentadbiran dan kepimpinan negara yang ditunjangi oleh orang Islam dalam mempraktikkan ajaran Islam yang syumul dan menjanjikan kesejahteraan yang hakiki? Apabila mahkamah syariah di sebuah negeri menghukum dengan peruntukan enakmen yang diluluskan melalui prosedur yang betul, mengapa begitu ramai yang mempersoalkan keadilan dan kebijaksanaan keputusan tersebut? Bukankah itu boleh dianggap sebagai menghina mahkamah? Bagaimanakah pula caranya kejahilan dan kekeliruan umat Islam ini boleh diatasi – sehingga dibimbangi akidah dan keyakinan mereka begitu mudah terhakis dan tergugat, mengambil pendirian lebih berdasarkan emosi dan bukan berasaskan fakta dan sumber ilmu yang sahih?

* Bagaimanakah boleh terjadi ketidakseragaman sistem, di mana apabila hukuman telah dijatuhkan oleh pihak penghakiman berdasarkan bukti dan hujah pihak pendakwaan, pihak pelaksana pula yang belum bersedia untuk melaksanakan hukuman tersebut kepada sipesalah? Di manakah silap dan salahnya, sehingga jelas sungguh ketempangan dan kekurangan yang ada dalam sistem kehakiman syariah di negara ini? Sampai bilakah harus berlaku perkara yang boleh memalukan institusi Islam khususnya dan umat Islam amnya?

* Sampai bilakah agaknya, umat Islam di Malaysia terhalang dari menjalani kehidupan beragama sebagaimana yang digariskan oleh Islam. Berapa ramai lagi orang Islam yang ikhlas dan insaf serta rela diadili dan menerima hukuman yang ditetapkan oleh kehakiman Islam tidak terbela dan dihalang dari melaksanakan ajaran agama mereka, sebagaimana juga Kartika Sari Dewi? Bagaimana pula dengan golongan yang menggelar diri mereka Muslim, namun terang-terangan tidak langsung menghormati ketetapan agama, malahan sentiasa pula mencemuh, memperlekeh dan mempersendakan Islam itu sendiri?

Wanita JIM menuntut jawapan yang tegas dan tindakan susulan yang segera bagi semua soalan-soalan di atas. Selagi mana tiada usaha merungkai persoalan asas tersebut, umat Islam di Malaysia akan terus menerus diselubungi kemelut kekeliruan dan kejahilan yang semakin menebal dan merugikan.

Wanita JIM mendesak agar semua pihak yang `menangguk di air keruh’, menggunakan kemelut isu hukuman sebat Kartika ini sebagai satu lagi `bukti’ ketidakadilan syariah Islam yang dianggap sentiasa menindas wanita, memberhentikan segera tindakan tersebut. Dalam masa yang sama, Wanita JIM menuntut sepenuh komitmen dan kebijaksanaan yang sewajarnya dari pihak kehakiman syariah di Malaysia agar segera melipatgandakan usaha meningkatkan kredibiliti institusi tersebut demi menjaga maruah dan nama baik Islam di mata masyarakat Malaysia dan antarabangsa.

Untuk Kartika Sari Dewi dan keluarganya, Wanita JIM mendoakan agar Allah SWT terus memberikan kekuatan dan sokongan untuk beliau menghayati kehidupan Islam yang sejahtera. Segala kesilapan dan dosa yang lalu, biarlah kekal menjadi sempadan dan peringatan

Semoga kemelut isu Kartika juga menjadi `pembuka mata’ kepada kita semua, betapa perlunya umat Islam di negara ini kembali kepada akidah yang sahih, penghayatan ilmu yang mantap dan keazaman yang tinggi dalam mempraktikkan Islam dalam kehidupan.

Prof. Madya Dr. Harlina Halizah Siraj

Ketua Wanita Pusat

Monday, July 20, 2009

SELAMAT DATANG

Assalamualaikum,
Wanita JIM Terengganu ingin mengalu-alukan sebarang sumbangan artikel atau laporan progam-program yang dijalankan di daerah masing-masing.